MELAKA: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan tiga lelaki daripada pertuduhan memiliki dan mengedar dadah, tiga tahun lepas.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid melepas dan membebaskan Muhammad Abdul Rahman, 37, Mohd Fadzli Abd Razak, 44, dan Yusri Awang, 38, selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Beliau berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan pemilikan dadah oleh ketiga-tiga lelaki itu, selain mereka mempunyai niat bersama untuk mengedar dadah.

"Keterangan menunjukkan lelaki pertama dan kedua bukan pemilik kereta malah mereka tidak ditahan di dalam kenderaan itu, serta tiada kesan cap jari mereka ditemukan di bungkusan dadah berkenaan.

"Mahkamah mendapati tertuduh ketiga pula diprejudis akibat kelemahan siasatan walaupun kereta itu adalah miliknya selepas saksi pendakwaan gagal menyiasat secara menyeluruh," katanya.

Terdahulu ketiga-tiga mereka yang bekerja sendiri, didakwa secara niat bersama mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 162.35 gram di tempat letak kenderaan di hadapan pejabat Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil, pukul 1.55 tengah hari pada 1 Feb 2021.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B) akta dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Muhammad diwakili peguam Ramzani Idris dan Haresh Mahadevan manakala Mohd Fadzli diwakili Asmawi Ismail dan Yusri diwakili Andrew Lourdes.

Enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.

-- BERNAMA